Sabtu, 16 Mei 2015

Cubaan dalam kekok dan rasa yang bercampur.

Ini cubaan untuk mencari diri sendiri.

Kadang-kadang aku tertanya-tanya kepada diri sendiri, mengapa tidak menulis? Biasanya menulis ketika proses kebangkitan itu lazim suatu masa dahulu; yang sebenarnya tiada apa-apa pun yang signifikan. Cuma melempiaskan gian untuk bermain kata. Aku memilih untuk berhenti bermain di sini atas alasan yang mudah - aku sedar aku tidak cukup membaca. Aku sedar yang selama ini aku hanya seronok bermain, berkhayal dalam dunia sendiri. Walaupun itu sebenarnya apa yang terjadi - menulis meraikan kegirangan berada di dalam dunia sendiri, ataupun meraikan kesunyian yang tidak berpenghujung. Tapi menulis dengan tapak yang lompong tidak membawa makna yang solid - tapak itu bila bila masa boleh runtuh. Menulis dengan tapak yang lompong sana-sini hanya membawa satu maksud - aku cuma bernasib baik. Atau aku cuma mengulang dan terus mengulang cebisan kata yang aku kutip daripada tulisan orang lain. Sesuatu yang sebenarnya biasa terjadi, juga, kepada penulis lain tapi harus diingat memetik atau meminjam kata itu lain lagi daripada menggunakan ide itu terus menjadi tunjang keseluruhan apa benda pun yang kau cuba nak tulis.

Menulis dengan tiada depth. Menulis itu harus dengan makna. Juga yang paling penting memahami secara teknikal apa yang terjadi sebenarnya di antara bait kata.

Pada lewat fasa kesedihan ini, atau kebangkitan, atau melupakan, atau apa pun namanya, aku terberhenti sebentar dan tertanya diri sendiri, mengapa tidak datang ke sini? Bermain di dalam taman ini melayan sepi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.