Rabu, 29 Mei 2019

Selamat Ulang Tahun Kelahiran

Kita, yang wujud hasil pantulan serpihan-serpihan cermin yang memenuhi sepanjang perjalanan kita menuju ke Tuhan yang Satu.

Ada kalanya warna yang terpalit tidak sengaja ketika kita alpa, terus kekal di situ tanpa kita sedar dan kita bawa bersama ke hulu ke hilir sehingga satu masa apabila kita peduli untuk melihat kembali diri kita; baru kita perasan adanya kotoran di situ. Jika cantik, maka biarkan sajalah. Apa salahnya? Tapi kalau lagi menjelikkan rupa..haruslah kita segera cuci, bersihkan.

Ketika ini, cermin-cermin yang bersepah sepanjang jalan tidak sengaja wujud selama ini tanpa sebab. Ketika kita peduli untuk periksa pakaian kita, rupa kita, maka kita sedar bahawasanya, rupa-rupanya cermin itu ada di mana-mana.

Yang selama ini kita tidak terperasankan.

Kau, adalah cermin aku.
Kita, umpama yin dan yang.

Di saat aku alpa dan cuba kembali mengejar tuhan, atau lemas dalam timbunan cuba mencari dan mengenal diri sendiri, aku kini sering terperasankan kehadiran serpihan cermin yang paling terang membiaskan cahaya, yang paling menyilaukan mata lantas sering kali, setiap kali, lagi dan lagi, menyedarkan aku akan nilai nilai yang tuhan ajarkan.

Cinta, antaranya, yang mengajar aku untuk sering mencuba menjadi insan yang lebih baik.
Ikhlas, tidak mengejar ganjaran tuhan semata-mata tapi kerana menginginkan keabadian murni yang tersemat dalam diri.

Semoga ruh kita diberkati tuhan.
Selamat ulang tahun kelahiran, wahai insan yang aku anggap dihadiahkan tuhan sebagai tanda kasihNya.
Semoga tuhan restu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.