Sabtu, 27 Oktober 2012

Salji


Kita di satu pekan yang asing, yang udaranya sejuk sampai ke tulang sum-sum bila kita bangun di pagi hari. Aku terbangun di satu pagi yang sejuknya buatkan aku tergigil-gigil, sambil subuh merangkak beralih ke siang. Aku tarik comforter sampai ke leher, sambil aku mengiring, meringkuk memeluk diri sendiri. Aku kembali tutup mata, memainkan kembali mimpi sebentar tadinya, setakat mana yang aku masih ingat. Perlahan-lahan badan aku hangat, seolah-olah di alam realiti ini kau sedang memeluk aku, sepertimana di dalam mimpi yang tadinya kau perlahan-lahan masuk ke dalam bungkusan comforter aku lalu membungkus aku dengan lengan dan badanmu sendiri. Dan kita langsung sama-sama berbungkuskan comforter yang sama. Tanganmu hangat terasa di pinggang aku, belakang aku selesa bersandarkan engkau. Selang masa berlalu, walaupun tiada kata antara kita, mata aku katup perlahan-lahan. Dan aku langsung tertidur berdodoikan nafas engkau yang seragam di cuping telinga aku.

Dan nyenyak aku tidur, sehingga aku bangun dikejut kicau burung yang bermain di jendela, dengan azan sayup-sayup dari kejauhan, dengan sisi tilam aku yang sejuk dan kosong, dan langsung tiada tanda engkau pernah hadir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.