Selasa, 10 April 2012

Balik dari kerja, Amir buka mangga gril, bukak kasut, letak atas rak kasut, cucuk kunci ke tombol pintu, menolak pintu rumah seluas-luasnya yang boleh. Rumah bujang yang hanya dia seorang sahaja penghuninya, kosong. Yang ada hanya perabot-perabot dengan lambaian langsir sliding door-nya yang terbuka; meliuk-lentuk menyambutnya pulang ke rumah.

Home sweet home.

Amir campak gugusan kunci ke atas meja makan, letak beg laptopnya bawah meja komputer, buka stokin, lantas hempas badan ke atas sofa. 

Lega.

Untuk seketika dia meluruskan-luruskan tulang belakang, bersandar sepenuh rasa sampai tulang belakangnya terasa menyandar dari atas sampai ke pinggang. Jari-jemari kaki dimain-mainkan untuk meraikan seronoknya rasa tak berkasut, selepas seharian berkasut dengan berstokin tebal.

Amir capai remote astro, on, pilih siaran radio, lantas pilih Opus. Volume dia rendahkan sikit. Rasa selesa akhirnya, Amir letak leher atas sofa. Pejam mata.

Sedetik, dua detik, tiga detik..Amir langsung tak sedar-sedar sampailah dia terkejut dibangunkan dengan bunyi gril jiran rumah sebelah. Mamai, Amir sedar sudah senja. 

Dia toleh ke luar. Tasik yang dia boleh nampak dengan jelas dari tingkat 5 pangsapurinya dibayangi dengan jingga langit senja. Angin yang bertiup makin kuat meliuk-lentukkan lagi langsirnya dengan rentak tidak tentu, berlawan dengan angin dari kipas silingnya yang tidak seberapa. Tak payah buka kipas pun tidak apa. Bunyi kereta dengan motor yang lalu lalang di bawah tidak membawa apa-apa beza pada telinganya. Opus yang sedang senyap, juga tidak membawa makna apa-apa pada telinganya.

Dengan leher masih terletak selesa atas sofa, Amir renung lama langit senja. Sekali-sekali berganti-ganti dengan merenung refleknya pada permukaan tasik. Malam ini malam minggu. Sepanjang jalan pulang ke rumah tadi Amir mengatur-ngatur rancangan untuk mengisi malam minggunya.

Tak ada orang lain lagi, Ahmad Shabab dengan Fakhri lah jawabnya. Lepak kopitiam macam biasa, habiskan 2-3 jam komplen kerja, analisis perempuan, dengar luahan perasaan Ahmad Shabab yang masih dalam proses ubat hati lepas kena tinggal, sampailah rangka strategi ketenteraan nak takluk negara jiran, rangka strategi nak cuci kepala budak-budak muda sekarang - for  melepak sake.

Habis 2,3 jam, Amir syak dia akan pulang semula ke rumah, masih disambut dengan perasaan yang sama. Tidak berjiwa.

1 ulasan:

  1. analisis perempuan tuh dah memang selalu sangat para lelaki nih diskaskan. selain dari tuh, aku rasa lebih kepada soal bola (kalau aku lah) :)

    BalasPadam

Katakan.