Khamis, 22 November 2012

Kita

Hidup bagai sudah diibaratkan seperti mengejar matahari terbenam setiap petang. Setiap langkah yang kita ambil, kadang tergesa-gesa, kadang perlahan, percaya kita sempat untuk menikmati pandangan yang sama seperti yang kita nampak dari sini. Langit tidak menidakkan kesatuannya dengan matahari dan awan. Bersama-sama elemen mereka bercampur menciptakan sesuatu yang maha indah. Maha, indah.

Dengan penuh rasa syukur dan cinta, dalam keinsafan dan sedar kuasa diri yang terbatas, semuanya datang kembali dalam bayangan kepala. Masa silam yang seakan panjang, berserta masa kini yang kadang-kadang terasa berjalan dengan terlalu pantas, tapi perlu, kerana garis masa tidak selari dengan apa yang kita sudah pelajari; rentak kita terlalu perlahan, seakan terlambat. Tapi itu semua sudah tuhan aturkan, juga. Jadi tak boleh tidak, kita sebenarnya kena sabar juga. 

Setiap bayang cantiknya awan dan langit senja, menyentuh jauh hingga ke relung hati. Kalaupun hidup ini cuma bertemankan langit senja dan cinta, kita sanggup. 

Dan pada akhirnya, kita terlepas, sebenarnya, matahari terbenam yang sangat cantik. Yang kita ingin ambil gambarnya dan simpan buat kenangan. Yang kita ingin lihat bila-bila kita kerinduan. Yang kita ingin rasa berbangga kerana memiliki foto yang seindah itu. Kerana 5 minit perjalanan ke tempat yang kita hajati demi mendapat tempat yang terbaik untuk menghayati cantiknya langit senja dan matahari terbenam itu, bermakna 5 minit waktu kita perlahan-lahan kehilangan matahari senja yang maha indah. Matahari dan seluruh cakerawala tak akan tunggu kita, tidak akan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.