Isnin, 3 Disember 2012

Night After Night

Setia berjalan di lorong antara dua bangunan yang sudah lama ditinggalkan. Dalam hujan yang lebat turun membasahi bumi, langkahnya perlahan, setiap tapak diseret dengan daya yang hampir sifar. Bukan dia sendiri di situ, tikus-tikus yang besarnya setanding kucing berusia 6 bulan melintas bersimpang siur di hadapan dan di belakangnya. Tapi Setia tidak peduli. Tiada apa yang Setia pedulikan lagi. Untuk melangkah dan berjalan pun sudah dikiranya satu keajaiban. Dengan setiap langkahnya ke hadapan, dia memaki dirinya. Dia mahu mati, dia mahu rebah tersungkur ke tanah hilang segala daya. Biar dia ada alasan untuk tidak bangun dan terus melangkah. Tapi hujan lebat ini juga seolah-olah menganjing. 

Setia teruskan berjalan, walau untuk apa dia melangkah pun dia tidak tahu. Dia tidak nampak apa yang ada di hadapan, dia tak peduli apa yang tertinggal di belakang. Yang dia tahu dia mahu berjalan, mahu lari dari daerah hujan ini. Mahu lari dari kesialan ini. Tapi tujuannya dia tidak pasti. Langit berdentum. Beberapa saat sebelum, dari belakang, seekor anjing berjalan tunduk di sebelah sambil curi-curi menjeling terjelir lidah kepadanya; untuk beberapa saat Setia rasa keintiman di situ. Kini mereka berjalan seiring. Sama rentak, sama langkah. Pandangan mereka keduanya tidaklah lari dari satu sama lain. Seolah-olah kebisuan itu menyatukan jiwa yang satu haram apa pun tidak sama. 

Di tengah-tengah kota ini, di tengah-tengah pekat malam, Setia putus asa terhadap hidup. Sehinggalah anjing ini datang, membawakan rasa yang dia, mereka, berada dalam kesialan yang sama. Dan dalam kesialan itu dia rasa mahu berteman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.