Selasa, 4 Disember 2012

Sleep The Clock Around

Aku sedang duduk-duduk menghembus kepulan demi kepulan asap, sambil melihat bentuk mereka yang perlahan-lahan menghilang, meresap menjadi satu dengan udara. Di belakang hujan turun agak lebat dan aku cuba membina melodi dengan rentak titis demi titis hujan ke atas zink garaj rumah jiran ketika dia datang di sebelah, secara bahasa tubuhnya merengek minta dilayan. Ah, macam manalah aku tak sentiasa cair dengan dia ni.

Kartika. Buah hati pengarang jantung.

"Nak apa?"
"Takde apa. Kita saja nak duduk dengan awak."
"Ha, iyalah."

Aku sambung hembus kepul demi kepul asap. Sambil tengok bentuk-bentuk O perlahan-lahan hilang bentuk dan menghilang.

"Awak, tuliskan saya sajak?"

Aku menoleh ke Kartika. Sesaat dua aku tenung matanya sambil tak berhenti sedut sepam dua sebelum menghembus asapnya ke arah lain. Kartika tak pernah selesa dengan aku merokok. 

"Ada bawak kertas, pen?"

Dia pantas menghulur buku nota dengan pen yang dia sorok di belakang badan. 
Tengok tu, macam manalah aku tak terhibur. Gayanya comel-comel saja.

"Awak nak saya tuliskan pasal apa?"
"Pasal impian."

Melebar senyumannya. Dan aku cair sekali lagi. Matanya bersinar-sinar penuh kegembiraan. Aku tak pernah sangka pada awalnya, pada mula-mula perkenalan, cuma ini, dengan menulis hatta benda merapu sekalipun, akan buat dia gembira. 

"Jaga kena basah." Aku hulur buku nota kepadanya, lepas sudah siap. Ekspresi mukanya bersungguh, tekun menunggu aku ketika aku sibuk memerah idea (dan rasa) demi sajak untuk Kartika. Kartika senyum melebar sampai ke telinga, lesung pipitnya tenggelam dalam, menghias pipinya yang gebu. 

Saat itu, imej susuknya yang tersenyum gembira, dengan lesung pipitnya, berserta hujan dan melodinya, aku tangkap dan simpan dalam kotak memori. Ini antara imej-imej Kartika yang akan aku ulang tayang setiap kali, pada bila-bila masa.

"Thanks, awak" Kartika menghadap tepat ke muka aku sambil tersenyum bahagia. 

Itu kali terakhir aku melihat dia tersenyum. Itu kali terakhir aku melihat Kartika.

1 ulasan:

Katakan.