Khamis, 6 Disember 2012

Tiris

Matahari makin jauh merendah di ufuk barat, sementara langit bangga dengan senjanya, bermain-main dengan warna-warna jingga dan ungu buat persembahan manusia-manusia yang lembut jiwanya. Dan Dian, seorang gadis yang tinggal di satu kabin terbiar di ceruk pinggir kota sedang sibuk dengan gulungan benang dan jarum-jarumnya yang datang dengan pelbagai saiz. Usai dia puas bermain rasa di hadapan matahari senja, berangan dan memikir segala tahi yang dilemparkan kepadanya hari itu, dia kembali mengurung diri di dalam kabin kecintaannya. Dari jauh dia dapat mendengar nyanyian dari kota yang tiada berjiwa. Pedulikan semua itu. Hari ini sama lagi rutinnya. Dia sedang pilih warna apa untuk dijahitkan hatinya kali ini. Juga saiz jarum apa yang difikirkannya sesuai kali ini. 

Dia kira warna hitam mungkin sesuai hari ini. Dipadankan dengan jarum yang paling halus. Kerana dia takut hatinya bengkak dek bekas-bekas jahitan yang lama yang kebanyakannya dari berlapis-lapis benang yang dijahitnya menggunakan jarum besar-besar. Kerana waktu itu Dian cuba, kelam-kabut jahitkan hatinya yang luka takut orang perasan. Dan juga dia tidak punya masa untuk merawat hatinya.

Hari ini tidak apa, hari ini Dian punya banyak masa untuk jahitkan hatinya dengan hati-hati, rapat-rapat. Agar tidak nampak parutnya nanti.

2 ulasan:

  1. First time di sini.Tak sabar tunggu entri seterusnya.Aku suka gaya penulisan mcm ni :)

    BalasPadam
  2. begitu banyak luka, sampai satu masa takde apa lagi yang perlu ditutupi.

    BalasPadam

Katakan.